Kebanyakan masalah yang kita hadapi di Malaysia berkaitan
dengan penggunaan produk yang tidak selamat tidak dapat kita perolehi secara
statistik. Kemungkinan ada dua faktor yang menjadikan keadaan sedemikian,
pertamanya mungkin kerana sikap orang-orang kita yang meletakkan sesuatu
malapetaka itu sebagai takdir dan kemalangan yang berlaku adalah kerana sudah
disuratkan terjadi begitu. Kita tidak merasakan keperluan untuk membuat laporan
polis atau membawa perkara yang berlaku kepada pengetahuan akhbar di atas
beberapa sebab, di antara sebab yang biasa ialah tidak mahukan publisiti.
Faktor yang kedua ialah mungkin kerana tiada sokongan yang kuat dari segi
perundangan dan penguasaan terhadap perlindungan dan juga pampasan. Seperti
contoh apabila seorang guru al-Quran di Jitra yang menyaman kerajaan (Hospital
Jitra) sebanyak RM100 juta kerana kecuaian pihak hospital memasukkan darah yang
mengandungi virus AIDS ke dalam badannya, ia seolah-olah dikecam oleh pihak
Kementerian Kesihatan. Menteri Kesihatan pada ketika itu , Dato' Chua Jui Ming
melahirkan rasa tidak gembira dengan saman tersebut di atas alasan bahawa ini
akan meningkatkan kos rawatan pesakit di negara kita.
Dengan keadaan yang
demikian akan menyukarkan penyelidik untuk menyelidik tentang sejauh mana
masalah penggunaan produk merbahaya yang berlaku di Malaysia. Jika di Amerika,
pada tahun 1970an lagi penyelidikan telah menimbulkan isu-isu tentang
malapetaka penggunaan produk merbahaya. Menurut Luthans & Hodgetts (1976),
lebih 20 juta rakyat Amerika memerlukan rawatan hospital kerana kemalangan yang
melibatkan produk yang tidak selamat. Daripadanya, 110,000 menjadi cacat dan
lebih 30,000 meninggal dunia. Kita tidak mempunyai maklumat sedemikian. Jika
ada tentu ini akan menjadikan kita lebih sedar untuk menjaga kebajikan dan
keselamatan diri kita daripada produk-produk sedemikian.
No comments:
Post a Comment